Followers

Thursday, October 28, 2010

#P. Ramlee dalam kenangan



Menyebut sahaja nama allahyarham Tan Sri P. Ramlee, sudah terbayang di minda tentang seorang individu yang cukup istimewa dan begitu dekat di hati masyarakat.
Merupakan satu-satunya insan seni di negara ini yang bergelar seniman agung, segala hasil karyanya melalui filem dan muzik tidak pernah ditelan zaman.
Umum pastinya mengetahui bahawa P. Ramlee dikenali sebagai seorang pelakon, penyanyi, pelawak, komposer, penulis skrip dan pengarah filem yang serba boleh.
Apa yang lebih mengagumkan, sepanjang hayatnya bergelar insan seni, anak kelahiran Pulau Pinang ini telah terbabit dengan 66 buah filem serta menghasilkan sebanyak 360 buah lagu.

Biarpun sudah 37 tahun P. Ramlee pergi meninggalkan warisan yang tidak ternilai, namun namanya masih tetap terpahat di hati dan sanubari setiap masyarakat.
Pencapaian beliau melalui bidang seni telah menjadikan beliau sebagai idola serta sumber inspirasi kepada penggiat seni tanah air pada hari ini.
Mengenai penglibatan P. Ramlee dalam bidang ini, karier beliau bermula pada tahun 1948 melalui lakonannya dalam filem Chinta dengan memegang watak antagonis.

Selepas itu, karier lakonan dan nyanyiannya semakin berkembang serta semakin dikenali ramai dan terus diberi kepercayaan membintangi filem-filem Melayu di bawah arahan pengarah terkenal, Datuk L. Krishnan.
Beliau yang bernaung di bawah Malay Film Production (MFP) di Jalan Ampas, Singapura terus mengecap populariti sebagai pelakon.

Setiap filem lakonannya mendapat sambutan hangat peminat filem-filem Melayu. Beliau bukan sekadar berbakat sebagai seorang pelakon, malah turut berkebolehan untuk menyanyi dan mencipta lagu, selain bermain alat muzik.
Kemuncak kepada karier seninya ialah apabila beliau diberi kepercayaan sebagai pengarah filem Penarik Beca selain turut memegang watak utama.

P. Ramlee juga memahatkan nama sebagai pengarah Melayu kedua selepas Haji Mahadi. Paling membanggakan, selain filem lakonan dan arahannya terus mendapat sambutan, beliau turut mendapat pengiktirafan sehingga ke peringkat Asia terutamanya melalui Festival Filem Asia Pasifik.
Pernah melalui zaman kegemilangan dan kemasyhuran ketika era di Jalan Ampas, P. Ramlee juga sebenarnya pernah melalui zaman kejatuhan sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Segala-galanya bermula setelah beliau keluar dari MFP dan berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1964 dengan menyertai Studio Merdeka, Hulu Kelang. Filem terakhir arahan beliau sebelum berhijrah adalah filem Tiga Abdul yang dilakonkan bersama Haji Mahadi dan S .Kadarisman.

Bagaimanapun, karier P. Ramlee di Kuala Lumpur tidaklah seperti yang diharapkan. Beliau dilihat sukar untuk mengembalikan zaman kegemilangan ketika di Jalan Ampas dahulu. Filem pertama arahan beliau yang diterbitkan oleh Studio Merdeka, Si Tora Harimau Jadian tidak mendapat sambutan peminat.

"Mama suke tengok cite2 P.Ramlee ni. Memang tak jemu la walaupun duk ulang2 tengok berkali. Kehilangan beliau sukar dicari ganti lagi. P.Ramlee hanya satu jer di dunia ni. Semoga roh nya dicucuri rahmat dari Allah SWT..."

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...